Isnin, 5 Ogos 2019

Cerpen: Perginya Suhaila Kekasihku


Assalamualaikum Dan Salam Bahagia.

Kali Ini Saya Ingin Mempersembahkan Antara Cerpen Terbaru Saya. Sebenarnya Penghasilannya Terhenti Seketika, Namun Saya Teruskan Semula Kerana Ramai Insan Sudi Memberikan Saya Sokongan Yang Padu Dan Kata-Kata Semangat. Alhamdulillah. Jutaan Terima Kasih Saya Ucapkan. Cerpen Saya Yang Sebelum Ini Iaitu JIWA YANG TENANG PERMAI, Telah Hampir Seribu Lebih Insan Yang Sudi Membacanya. Saya Rasa Amat Bersyukur Dan Rasa Bersemangat Untuk Meneruskan Berada Dalam Dunia Penulisan Ini.

Cerpen
Perginya Suhaila Kekasihku

Sudah lama dia pergi buat selamanya. Namun ingatanku masih tidak mampu untuk melupakannya. Dialah yang akan sentiasa memberi kata-kata mutiara saat semangatku mulai terjunam. Dia kekasih yang sempurna bagiku. Patutnya kami akan bernikah pada lima tahun lepas. Tetapi siapa sangka, ajalnya telah ditentukan pada sebulan sebelum majlis pernikahan kami dilangsungkan. Dia meninggal dunia ketika sujut semasa menunaikan solat istikharah. Ketika itu, aku hanya terdiam sehingga terduduk selepas mendapat tahu berita itu daripada adiknya di dalam panggilan telefon. Aku seakan bernafas di lautan yang sangat dalam. Tiada wanita yang mampu menggantikan tempatnya untukku.
Dialah yang bernama Suhaila. Sentiasa menjaga kehormatan diri. Tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki yang bukan muhrimnya dan tidak pernah membiarkan auratnya terdedah. Dia seorang wanita yang penuh ilmu di dada. Wajahnya bagaikan cahaya yang bersinar. Gayanya sungguh lemah lembut. Setiap kata yang keluar dari mulutnya bagaikan semanis madu. Bagiku, paling berharga dalam diri Suhaila adalah senyumannya kerana penuh dengan mutiara keikhlasan. Setiap kali dia tersenyum, umpama aku sedang berterbangan di taman syurga.

Walaupun aku tidak begitu sempurna tambahan pula tidak berharta, namun dia tetap setia terhadap cintaku. Masih terngiang-ngiang di ingatanku, dia pernah berkata, "Saya terima cinta Abang Kal bukan sebab harta malah bukan sebab rupa kerana setiap manusia pasti ada kekurangannya.. Saya percaya, Abang Kal mampu membimbing saya dalam hal agama.. Jika diizinkan Allah, Abang Kal pasti mampu mendidik anak-anak kita dengan agama secukupnya.. Lagi satu, saya terima cinta ini kerana ilmu yang sangat berharga daripada Abang Kal..” Setiap kata-kata mutiaranya, pasti akan aku tulis di dalam buku diariku.

Emakku dengan ibu Suhaila iaitu Cik Zah memang sudah lama kenal dan mereka adalah kawan baik. Sejujurnya, dahulu aku memang tidak tahu-menahu pun tentang anak sulung perempuannya iaitu Suhaila. Namun ketika aku menolong emakku hantarkan baju jahitan yang ditempah oleh Cik Zah, lantas keluarlah Suhaila untuk mengambilnya daripada aku di pintu. Secara tiba-tiba, jantung aku terus berdegup laju bagaikan dipanah saat melihat wajahnya yang sungguh ayu dengan berkaca mata. Dia pun memberi salam, "Assalamualaikum.. Ini Abang Kal, anak kepada Cik Salmah kan?” Dia seorang wanita yang sangat peramah. "Waalaikumsalam.. Abanglah tu.. Nah, ini baju kurung Cik Zah,” jawab aku sambil menahan malu. Dari situlah pertemuan kali pertama kami. Semenjak dari tika itu, wajahnya selalu bermain dalam ingatanku.

Selepas tiga minggu dari hari itu, mungkin jodoh kami semakin dekat. Kami bertemu kembali ketika Cik Zah datang ke rumah ditemani oleh Suhaila, saja ingin bersembang dengan emakku kerana sudah lama mereka tidak berjumpa. Ketika itu, aku sedang melukis di belakang rumah berdekatan dengan bendang. Memang di situ tempatku berkarya. Sedang mereka bersembang, Cik Zah pun bertanya tentangku, “Mana anak teruna kau tu? Tak nampak langsung mukanya..” Lantas emakku menjawab, “Dia ada dekat belakang rumah.. Tengah melukis rasanya.. Suruhlah Suhaila yang jelita ni pergi tengok dia.. Hehehe..” 

Sedang aku teliti dan tekun melukis, tiba-tiba aku tersentak dengan suara yang sangat merdu. “SubhanAllah! Cantiknya Abang Kal lukis...” Rasanya, aku pernah mendengar suara wanita itu. Aku pun terus menoleh kebelakang. Rupanya itu suara Suhaila. Lalu aku pun terkejut sampai tak terluah kata-kata. “Assalamualaikum Abang Kal.. Janganlah terkejut sangat sampai macam tu sekali.. Suhaila tak makan oranglah.. Hehe.. Cik Salmah kata, Abang Kal tengah lukis dekat sini.. Nak juga tengok karya daripada Abang Kal,” usik Suhaila apabila melihat aku terkejut. Terdengar saja kata lucunya, aku terus jadi tenang sedikit. “Waalaikumsalam Suhaila.. Hehehe.. Abang Kal memang suka melukis dekat sini.. Tempatnya aman.. Sambil melukis, boleh juga melihat keindahan ciptaan daripada Allah.. Lukisan Abang Kal biasa-biasa saja..”

Walaupun kami sedang bersembang, Suhaila memang tidak terlalu dekat denganku. Kerana itu aku mengatakan dia adalah wanita yang menjaga kehormatan diri. Sejak dari itu, aku mula terasa sesuatu yang tidak pernah aku rasakan iaitu cinta. Ya, aku sudah jatuh cinta namun aku hanya mampu memendam perasaan sahaja kerana aku sedar akan diriku yang tidak sepadan dengan dirinya nan ayu. “Wah! Cantiknya lukisan ni dengan kata-kata mutiara yang Abang Kal tulis,” pujinya sambil menghayati lukisanku. “Oo.. Kalau Suhaila suka, takpa, ambil terus lukisan ni.. Abang Kal hadiahkan,” ujarku. Mulanya dia segan dan kata tak mahu tapi aku paksa juga suruh dia ambil.

Kami pun terus menjadi rapat dan mesra selepas itu. Lama juga aku dan Suhaila menjadi kawan baik. Tempat yang selalu akan kami pergi ialah di perpustakaan. Emakku memang sangat berkenan kalau Suhaila menjadi isteriku untuk sehidup semati. Ingat lagi aku ketika kami di perpustakaan, Suhaila secara tiba-tiba menceritakan kepadaku kisah Siti Khadijah melamar Rasulullah. Aku memang tahu akan kisah itu, tetapi selepas saja aku pulang ke rumah, jantungku mula berdegup dengan laju kerana tertanya-tanya mengapa Suhaila bercerita kisah itu kepadaku.

Selepas seminggu dari kejadian itu, hatiku sekali lagi terasa sangat berdebar, tak tahu apa puncanya. “Assalamulaikum tuan rumah!” Aku terdengar suara ayah Suhaila memberi salam. Cik Zah pun ada ikut bersama. “Waalaikumsalam.. Masuklah Ali.. Memang kau tepati janji orangnya,” jawab abahku, sambil menjemput masuk. “Janji? Ada apa-apa ke yang aku tak tahu?” tanya hati kecilku yang ditemani tanda tanya. Setelah lama mereka bersembang, abahku pun memanggilku. Barulah ketika itu aku diberi tahu, sebenarnya Pak Ali dan Cik Zah datang untuk masuk meminangku bagi pihak Suhaila. Ketika itu, aku tidak mampu untuk berkata apa-apa kerana terlalu bersyukur kepada Allah. Aku pun terus sujud syukur pada waktu itu juga.

“Ya Allah! Sungguh sayu dan sedih bagiku untuk mengingati semula kenangan itu... Engkau damaikanlah Suhaila di sana dan tempatkanlah bidadariku itu di syurgaMu yang indah... Aku memohon kepadaMu agar lindungilah Suhaila dengan rahmatMu... Terima kasih Ya Allah kerana pernah menghadirkan seorang kekasih yang sungguh membahagiakan hatiku... Aku bersyukur walau hanya sekejap kehadirannya dalam hidupku yang mengajarkanku tentang erti cinta yang sejati iaitu cintalah sepenuhnya kepada Allah dan Rasulullah... Pergilah dahulu wahai bidadariku, Suhaila... Abang Kal akan bersamamu nanti,” lafaz dan doaku setiap kali menziarahi pusara Suhaila iaitu kekasihku yang pertama dan yang terakhir.

(Karya: Haikal Rider, Maniskan Dalam Senyuman)

Sinopsis:-

Abang Kal selalu teringat kembali kenangan bersama kekasihnya yang sentiasa menjaga kehormatan diri iaitu Suhaila yang telah meninggal dunia sebulan sebelum majlis pernikahan mereka. Pada mulanya, Abang Kal memang telah jatuh cinta terhadap Suhaila tetapi hanya mampu memendam perasaan sahaja. Sebenarnya, Suhaila juga menyimpan perasaan yang sama. Cerpen ini juga menceritakan tentang Suhaila melamar Abang Kal secara perlahan-lahan iaitu dengan menceritakan kisah Siti Khadijah melamar Rasulullah. Setelah seminggu dari hari itu, barulah ibu dan ayah Suhaila datang meminang Abang Kal di rumah. Namun semua itu hanyalah tinggal kenangan buat Abang Kal.

Watak Utama:-
  • Abang Kal
  • Suhaila
Watak Sampingan:-
  • Cik Salmah
  • Cik Zah
  • Pak Ali
  • Abah

Sehingga Kita Berjumpa Lagi Di Lain Cerita Daripada Saya Dalam Blog INSPIRASI HAIKAL RIDER. Semoga Kita Sentiasa Diberi Kesihatan Yang Baik-Baik Dan Semoga Kita Sentiasa Bahagia Di Dunia Serta Di Akhirat.

Ikuti Perkembangan Saya Dengan Lebih Lanjut Di Media Sosial:-
YouTube: Haikal Rider
Instagram: haikalrider

Saya Akhiri Penulisan Saya Kali Ini Dengan Kata-Kata Pesanan:-

Hanya Allah Sahaja Yang Mampu Merubah Sesuatu Takdir Kerana Dialah Tuhan Yang Berkuasa. Setiap Apa Yang Kita Miliki, Bukanlah Selamanya Untuk Kita, Allah Boleh Ambil Bila-Bila Masa Sahaja. Jadi, Janganlah Kita Menganggap Segala Yang Ada Di Dunia Ini Adalah Kekal. Daripada Allah Kita Datang, Kepada Allah Jualah Kita Pulang.

~ ~ ~

Cerpen: Jiwa Yang Tenang Permai



Assalamualaikum Dan Salam Bahagia.

Ini Merupakan Cerpen Yang Pertama Daripada Saya. Sebenarnya Saya Memang Minat Dengan Penceritaan Sejak Sekolah Rendah Lagi. Cerpen Juga Mampu Membuatkan Saya Terlupa Seketika Tentang Penderitaan Yang Saya Tempuhi. Sebelum Anda Membaca Cerpen Saya Ini, Saya Ingin Menerangkan Secara Mudah Tentang Cerpen. Cerpen Adalah Sebuah Cerita Yang Ringkas Dan Tidak Terlalu Panjang. Watak Dalam Sesebuah Cerpen Kebanyakannya Sedikit Sahaja. Cerpen Juga Pengisiannya Tidak Terlalu Berat Untuk Dibaca Kerana Cepat Bertemu Dengan Pengakhiran Cerita Serta Sangat Berbeza Dengan Panjangnya Novel. Jadi, Terimalah Cerpen Daripada Saya Ini Supaya Anda Dapat Menghayati Maksud Yang Tersirat.

Cerpen
Jiwa Yang Tenang Permai

Di sebuah kampung yang aman permai. Tinggallah sepasang suami isteri yang agak lanjut usianya, dianggarkan dalam lingkungan 70 tahun. Mereka hidup bahagia walaupun tinggal di dalam rumah yang sangat usang. Mereka sentiasa percaya bahawa kehidupan ini ada pasang surutnya. Sikap mereka yang seperti biar buruk kain dipakai, asalkan pandai mengambil hati, membuatkan mereka sentiasa disayangi oleh orang kampung. Mereka dikenali sebagai Pak Mat dan Mak Sal. Juga, suami isteri ini dianggap sebagai insan yang sangat istimewa dengan ketabahan mereka. Mereka tidak dikurniakan seorang pun anak sepanjang perkahwinan, namun tidaklah mematahkan semangat mereka untuk sentiasa tenang dengan segala ketentuan daripada Allah.

Dahulunya, Mak Sal juga pernah merasai saat-saat indah seperti ibu yang lain iaitu mengandung anak pertama, namun gagal di tengah jalan kerana kandungannya gugur setelah Mak Sal terjatuh ketika mengangkat baju di ampaian. Terdengarnya Pak Mat tentang berita itu ketika berada di kebun, terus dia terkejar-kejar pulang ke rumah bagaikan tidak cukup tanah untuk melihat keadaan isterinya. Pak Mat sudah beberapa kali menasihati Mak Sal supaya jangan buat kerja yang berat buat sementara waktu ini tapi kata Mak Sal, dia tak mahu menyusahkan Pak Mat setelah penat seharian bekerja di kebun. Syukur kerana Mak Sal tidak mengalami sebarang luka yang teruk namun Mak Bidan mengatakan bahawa kandungan di dalam perutnya tidak dapat diselamatkan, tetapi mereka tetap tenang menerima takdir.

Sementara Pak Mat bekerja di kebun untuk menanggung perbelanjaan seharian dan mencari nafkah, Mak Sal juga turut membantu mengurangkan beban suaminya dengan mengambil tempahan menjahit baju kurung. Mak Sal pernah berpesan kepada orang kampung, "Hidup berumah tangga ini, perlulah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, barulah bahagia berpanjangan." Mereka berdua bagai beliung dengan asahan kerana sentiasa setia bersama walau diuji dengan berbagai bentuk ujian sepanjang perkahwinan. Kesyukuran mereka atas segala apa yang ada, membuatkan kehidupan mereka sentiasa dimurahkan rezeki.

Pernah ketika dahulu, saat Pak Mat sedang membersihkan kawasan di kebun sambil menebas rumput-rumput yang sudah menjadi semak-samun, terdapatnya paku yang tajam dan karat tersembunyi disebalik kawasan itu. Tanpa disedarinya dan sedang berkaki ayam, Pak Mat pun telah terpijak paku itu. Sakit yang dirasainya seperti tercucuk sumpit yang berbisa. Dengan tenang sambil menahan sakit, Pak Mat pun membalut kakinya itu dengan kain dan terus terhincut-hincut pulang ke rumah. Puas dipujuk oleh Mak Sal supaya pergi ke hospital untuk dirawat tapi Pak Mat tetap tak mahu pergi. Katanya luka itu tidaklah begitu besar, pasti akan sembuh juga.

Malangnya, disebabkan Pak Mat tak mahu pergi ke hospital, lukanya itu mula mengalami pendarahan yang banyak sehingga dia terpaksa dibawakan juga ke hospital oleh Hamdan, salah seorang pemuda kampung. Syukur kerana luka Pak Mat itu tidaklah begitu serius. Dia boleh terus bekerja seperti biasa, tetapi harus berehat terlebih dahulu sehingga sembuh. Kata doktor, jika tidak dirawat dan dibiarkan begitu saja, mungkin kuman akan membiak di dalam darah dan kemungkinan kakinya terpaksa dipotong. Satu pengajaran buat Pak Mat supaya jangan selalu ambil mudah atas sesuatu perkara.

Banyak lagi dugaan yang telah mereka tempuh, tetapi mereka tetap teguhkan ketenangan di dalam jiwa untuk menghadapi segalanya. Semakin tenang mereka mengharungi ujian hidup, semakin ramai yang sudi menyayangi diri mereka. Tidak pernah bekalan makanan mereka berkurang kerana orang kampung sentiasa memberikan sumbangan barangan dapur setiap minggu. Disamping itu, Pak Mat dan Mak Sal juga selalu memberikan kata-kata pesanan yang sangat berguna kepada orang kampung. Salah satunya, "Jangan bersedih hati saat diri diduga kerana setiap yang berlaku di dunia ini hanyalah ujian semata-mata untuk menguji ketabahan dan kecekalan hati kita supaya menjadi hamba Allah yang cekal." Setiap kata-kata daripada mereka, mampu memberi pencerahan kepada sesiapa sahaja. Begitulah kehidupan Pak Mat dan Mak Sal, sepasang suami isteri yang sentiasa tenang di kampung yang permai.

(Karya: Haikal Rider, Maniskan Dalam Senyuman)

Sinopsis:-

Kehidupan sepasang suami isteri yang bahagia dan setia bersama. Dikenali sebagai Pak Mat dan Mak Sal yang sentiasa tenang menghadapi segala onak duri kehidupan yang semata-mata hanya ingin menguji kecekalan hati mereka. Tidak dikurniakan zuriat sepanjang perkahwinan. Mereka terkenal dengan insan yang sentiasa tabah. Pak Mat hanya seorang pekerja kebun manakala Mak Sal pula hanya mengambil tempahan menjahit baju kurung. Mereka berhati mulia dan selalu memberi kata-kata pesanan kepada orang kampung, membuatkan mereka sentiasa disayangi. Cerpen ini juga mendidik kita supaya sentiasa tenang dan bertawakal kepada Allah dalam menghadapi segala ujian hidup.

Watak Utama:-

  • Pak Mat
  • Mak Sal


Pengertian Peribahasa Terlibat:-

Ada pasang surutnya.
Maksud: Keuntungan dan kemalangan itu tidaklah tetap kerana dunia sentiasa berputar.

Biar buruk kain dipakai, asalkan pandai mengambil hati.
Maksud: Biar miskin harta asalkan berbudi bahasa dan berhati mulia.

Gagal di tengah jalan.
Maksud: Sesuatu perancangan yang tidak dapat dituruti. 

Bagaikan tidak cukup tanah.
Maksud: Berlari dengan begitu pantas.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Maksud: Bekerjasama dalam melakukan sesuatu kerja, sama ada kerja itu susah ataupun mudah.

Bagai beliung dengan asahan.

Maksud: Tidak pernah berpisah.

Kaki ayam.
Maksud: Tidak memakai kasut.

Ambil mudah.
Maksud: Menganggap sesuatu perkara itu mudah.

Sehingga Kita Berjumpa Lagi Di Lain Cerita Daripada Saya Dalam Blog INSPIRASI HAIKAL RIDER. Semoga Kita Sentiasa Diberi Kesihatan Yang Baik-Baik Dan Semoga Kita Sentiasa Bahagia Di Dunia Serta Di Akhirat.

Ikuti Perkembangan Saya Dengan Lebih Lanjut Di Media Sosial:-
YouTube: Haikal Rider
Instagram: haikalrider

Saya Akhiri Penulisan Saya Kali Ini Dengan Kata-Kata Pesanan:-

Jika Anda Rasa Diri Selalu Diuji, Maka Kenangkanlah Insan-Insan Yang Lebih Perit Diduga Berbanding Dengan Ujian Yang Anda Tempuhi.

~ ~ ~

Menarik

Cerpen: Perginya Suhaila Kekasihku

Assalamualaikum Dan Salam Bahagia. Kali Ini Saya Ingin Mempersembahkan Antara Cerpen Terbaru Saya. Sebenarnya Penghasilannya Terhen...