Assalamualaikum Dan Salam Bahagia.
Ini Merupakan Cerpen Yang Pertama Daripada Saya. Sebenarnya Saya Memang Minat Dengan Penceritaan Sejak Sekolah Rendah Lagi. Cerpen Juga Mampu Membuatkan Saya Terlupa Seketika Tentang Penderitaan Yang Saya Tempuhi. Sebelum Anda Membaca Cerpen Saya Ini, Saya Ingin Menerangkan Secara Mudah Tentang Cerpen. Cerpen Adalah Sebuah Cerita Yang Ringkas Dan Tidak Terlalu Panjang. Watak Dalam Sesebuah Cerpen Kebanyakannya Sedikit Sahaja. Cerpen Juga Pengisiannya Tidak Terlalu Berat Untuk Dibaca Kerana Cepat Bertemu Dengan Pengakhiran Cerita Serta Sangat Berbeza Dengan Panjangnya Novel. Jadi, Terimalah Cerpen Daripada Saya Ini Supaya Anda Dapat Menghayati Maksud Yang Tersirat.
Cerpen
Jiwa Yang Tenang Permai
Di sebuah kampung yang aman permai. Tinggallah sepasang suami isteri yang agak lanjut usianya, dianggarkan dalam lingkungan 70 tahun. Mereka hidup bahagia walaupun tinggal di dalam rumah yang sangat usang. Mereka sentiasa percaya bahawa kehidupan ini ada pasang surutnya. Sikap mereka yang seperti biar buruk kain dipakai, asalkan pandai mengambil hati, membuatkan mereka sentiasa disayangi oleh orang kampung. Mereka dikenali sebagai Pak Mat dan Mak Sal. Juga, suami isteri ini dianggap sebagai insan yang sangat istimewa dengan ketabahan mereka. Mereka tidak dikurniakan seorang pun anak sepanjang perkahwinan, namun tidaklah mematahkan semangat mereka untuk sentiasa tenang dengan segala ketentuan daripada Allah.
Dahulunya, Mak Sal juga pernah merasai saat-saat indah seperti ibu yang lain iaitu mengandung anak pertama, namun gagal di tengah jalan kerana kandungannya gugur setelah Mak Sal terjatuh ketika mengangkat baju di ampaian. Terdengarnya Pak Mat tentang berita itu ketika berada di kebun, terus dia terkejar-kejar pulang ke rumah bagaikan tidak cukup tanah untuk melihat keadaan isterinya. Pak Mat sudah beberapa kali menasihati Mak Sal supaya jangan buat kerja yang berat buat sementara waktu ini tapi kata Mak Sal, dia tak mahu menyusahkan Pak Mat setelah penat seharian bekerja di kebun. Syukur kerana Mak Sal tidak mengalami sebarang luka yang teruk namun Mak Bidan mengatakan bahawa kandungan di dalam perutnya tidak dapat diselamatkan, tetapi mereka tetap tenang menerima takdir.
Sementara Pak Mat bekerja di kebun untuk menanggung perbelanjaan seharian dan mencari nafkah, Mak Sal juga turut membantu mengurangkan beban suaminya dengan mengambil tempahan menjahit baju kurung. Mak Sal pernah berpesan kepada orang kampung, "Hidup berumah tangga ini, perlulah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, barulah bahagia berpanjangan." Mereka berdua bagai beliung dengan asahan kerana sentiasa setia bersama walau diuji dengan berbagai bentuk ujian sepanjang perkahwinan. Kesyukuran mereka atas segala apa yang ada, membuatkan kehidupan mereka sentiasa dimurahkan rezeki.

Pernah ketika dahulu, saat Pak Mat sedang membersihkan kawasan di kebun sambil menebas rumput-rumput yang sudah menjadi semak-samun, terdapatnya paku yang tajam dan karat tersembunyi disebalik kawasan itu. Tanpa disedarinya dan sedang berkaki ayam, Pak Mat pun telah terpijak paku itu. Sakit yang dirasainya seperti tercucuk sumpit yang berbisa. Dengan tenang sambil menahan sakit, Pak Mat pun membalut kakinya itu dengan kain dan terus terhincut-hincut pulang ke rumah. Puas dipujuk oleh Mak Sal supaya pergi ke hospital untuk dirawat tapi Pak Mat tetap tak mahu pergi. Katanya luka itu tidaklah begitu besar, pasti akan sembuh juga.
Malangnya, disebabkan Pak Mat tak mahu pergi ke hospital, lukanya itu mula mengalami pendarahan yang banyak sehingga dia terpaksa dibawakan juga ke hospital oleh Hamdan, salah seorang pemuda kampung. Syukur kerana luka Pak Mat itu tidaklah begitu serius. Dia boleh terus bekerja seperti biasa, tetapi harus berehat terlebih dahulu sehingga sembuh. Kata doktor, jika tidak dirawat dan dibiarkan begitu saja, mungkin kuman akan membiak di dalam darah dan kemungkinan kakinya terpaksa dipotong. Satu pengajaran buat Pak Mat supaya jangan selalu ambil mudah atas sesuatu perkara.

Banyak lagi dugaan yang telah mereka tempuh, tetapi mereka tetap teguhkan ketenangan di dalam jiwa untuk menghadapi segalanya. Semakin tenang mereka mengharungi ujian hidup, semakin ramai yang sudi menyayangi diri mereka. Tidak pernah bekalan makanan mereka berkurang kerana orang kampung sentiasa memberikan sumbangan barangan dapur setiap minggu. Disamping itu, Pak Mat dan Mak Sal juga selalu memberikan kata-kata pesanan yang sangat berguna kepada orang kampung. Salah satunya, "Jangan bersedih hati saat diri diduga kerana setiap yang berlaku di dunia ini hanyalah ujian semata-mata untuk menguji ketabahan dan kecekalan hati kita supaya menjadi hamba Allah yang cekal." Setiap kata-kata daripada mereka, mampu memberi pencerahan kepada sesiapa sahaja. Begitulah kehidupan Pak Mat dan Mak Sal, sepasang suami isteri yang sentiasa tenang di kampung yang permai.
(Karya: Haikal Rider, Maniskan Dalam Senyuman)
Sinopsis:-
Kehidupan sepasang suami isteri yang bahagia dan setia bersama. Dikenali sebagai Pak Mat dan Mak Sal yang sentiasa tenang menghadapi segala onak duri kehidupan yang semata-mata hanya ingin menguji kecekalan hati mereka. Tidak dikurniakan zuriat sepanjang perkahwinan. Mereka terkenal dengan insan yang sentiasa tabah. Pak Mat hanya seorang pekerja kebun manakala Mak Sal pula hanya mengambil tempahan menjahit baju kurung. Mereka berhati mulia dan selalu memberi kata-kata pesanan kepada orang kampung, membuatkan mereka sentiasa disayangi. Cerpen ini juga mendidik kita supaya sentiasa tenang dan bertawakal kepada Allah dalam menghadapi segala ujian hidup.
- Pak Mat
- Mak Sal
Pengertian Peribahasa Terlibat:-
Ada pasang surutnya.
Maksud: Keuntungan dan kemalangan itu tidaklah tetap kerana dunia sentiasa berputar.
Biar buruk kain dipakai, asalkan pandai mengambil hati.
Maksud: Biar miskin harta asalkan berbudi bahasa dan berhati mulia.
Biar buruk kain dipakai, asalkan pandai mengambil hati.
Maksud: Biar miskin harta asalkan berbudi bahasa dan berhati mulia.
Gagal di tengah jalan.
Maksud: Sesuatu perancangan yang tidak dapat dituruti.
Bagaikan tidak cukup tanah.
Maksud: Berlari dengan begitu pantas.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Maksud: Bekerjasama dalam melakukan sesuatu kerja, sama ada kerja itu susah ataupun mudah.
Bagai beliung dengan asahan.
Maksud: Tidak pernah berpisah.
Kaki ayam.
Maksud: Tidak memakai kasut.
Ambil mudah.
Maksud: Menganggap sesuatu perkara itu mudah.
Sehingga Kita Berjumpa Lagi Di Lain Cerita Daripada Saya Dalam Blog INSPIRASI HAIKAL RIDER. Semoga Kita Sentiasa Diberi Kesihatan Yang Baik-Baik Dan Semoga Kita Sentiasa Bahagia Di Dunia Serta Di Akhirat.
Ikuti Perkembangan Saya Dengan Lebih Lanjut Di Media Sosial:-
Facebook: Inspirasi Haikal Rider
YouTube: Haikal Rider
Instagram: haikalrider
Saya Akhiri Penulisan Saya Kali Ini Dengan Kata-Kata Pesanan:-
Jika Anda Rasa Diri Selalu Diuji, Maka Kenangkanlah Insan-Insan Yang Lebih Perit Diduga Berbanding Dengan Ujian Yang Anda Tempuhi.
~ ~ ~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan